Oleh Prof Dr Sidek Baba
REMAJA Islam harus bijak memahami bahawa Islam adalah agama yang benar. Mengajar ilmu menerusi suluh al-Quran, memandu akal manusia supaya kreativiti akal membawa kepada kebenaran.
Kekuatan dan kelemahan pemeluknya bergantung setakat mana ilmu Islam difahami dan setakat mana ajaran Islam dihayati.
Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu, darjah penghayatan Islamnya menjadi rendah. Kalaulah Islam hanya dilihat sebagai agama kepercayaan semata-mata, maka amalan ke arah kebaikan hidup dan kesejahteraan diri tidak akan berlaku.
Muslim adalah pemeluk kepada agama Islam itu sendiri. Menjadi seorang Muslim mungkin belum memadai sekiranya ilmu Islam tidak difahami dan diamalkan. Tidak semestinya setiap orang menjadi muaallim iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Tetapi sebilangan orang perlu ada supaya ilmu dan pemikiran Islam terus berkembang. Hubungan manusia dengan Allah boleh menjadikan seorang Islam berstatus mukmin.
Darjah keimanan yang tinggi boleh meletakkan kemantapan asas akidah dan amal berjalan seiring. Ia bakal melahirkan orang-orang yang muttaqin.
Darjah tertinggi yang menjadi idaman seorang mukmin ialah menjadi muhsin di mana talian hubungan dengan Allah begitu erat sehingga manusia memiliki daya ihsan (kebaikan) yang tinggi terhadap Allah dan juga manusia.
Islam tidak saja agama yang memberikan suatu sistem kepercayaan dan keyakinan kepada manusia tetapi ia mengatur kehidupan. Prinsip-prinsip dan pedoman yang terdapat di dalam al-Quran bermaksud memandu manusia menghasilkan ilmu bagi mengatur sistem yang lengkap.
Al-Quran memberi pedoman tentang maksud manusia diciptakan, bumi dan alam ini dijadikan. Al-Quran memberi pedoman bagaimana manusia dapat mengurus diri dan mengurus sistem berasaskan pendekatan yang adil dan amanah.
Al-Quran menyatakan kisah-kisah manusia pada masa lalu untuk menjadi ibrah atau pedoman bagi manusia pada hari ini kerana apa yang berlaku pada masa yang lalu boleh berulang kembali. Kitab suci ini juga mengaturkan pedoman dalam muamalah dan berekonomi, kepentingan institusi keluarga dan sistem sosial yang subur dan berkembang dalam fitrah di samping menganjurkan manusia berfikir dan mengkaji supaya ia boleh memberi menafaat kepada manusia lain.
Islam sebagai suatu agama yang menghasilkan cara hidup menuntut umatnya supaya mempunyai ilmu dan sentiasa mengamalkannya. Yang berlaku sebahagiannya pada hari ini ialah Islam hanya berkembang dalam batas kerohanian yang sempit dan tidak diterjemahkan sebagai suatu cara hidup yang lengkap.
Dalam keluarga umpamanya, peranan ibu bapa adalah penting dalam membangun sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera. Apabila masa yang berkualiti bagi ibu dan ayah dihabiskan di luar rumah, anak-anak menjadi terbiar.
Hati dan jiwa anak-anak menjadi lompang dan kosong. Akhirnya anak-anak tercicir dalam binaan keluarga dan setengahnya terlibat dengan salahguna dadah dan salah laku dalam kehidupan remaja.
Ada ibu bapa yang berpendapat bahawa aset atau harta yang sebenar ialah kekayaan benda dan menganggap anak-anak bukan aset. Sedangkan anak-anak yang diberi perhatian dan kasih sayang yang baik, didikan dan teladan yang baik bakal menjadi modal insan yang berguna.
Lalu keperluan anak-anak hanya dilihat kepada keperluan pakaian dan makan-minum atau keperluan-keperluan lain yang bersifat kebendaan sahaja. Kasih sayang tidak diberikan, tunjuk ajar tidak dilakukan, ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman yang baik tidak terjadi. Keakraban komunikasi tidak berlaku dan akhirnya menghasilkan jurang yang amat dalam antara anak-anak dan ibu bapa.
Menganut
Islam juga sering dilihat sebagai agama warisan. Seseorang menjadi Islam kerana ibu bapanya Islam. Orang Melayu menjadi Islam kerana bangsanya menganut agama Islam. Remaja Islam tentu memahami bahawa Islam secara warisan tidak semestinya menjadikan kita umat Islam yang sejati.
Menjadi Islam tidak hanya pada faktor warisan tetapi warisan dari keluarga Islam seharusnya mendorong remaja untuk mendalami ilmu Islam supaya penghayatan Islam menjadi lebih nyata.
Lebih-lebih lagi dengan cabaran kehidupan pada masakini amat menuntut remaja memahami Islam untuk memberi pedoman dalam mencari makna pergaulan, pemahaman tentang seni dan budaya, hiburan dan riadah supaya remaja tidak mudah terjebak dengan amalan yang bercanggah.
Amalan remaja yang bercanggah tidak membantu untuk memberikan imej Islam yang baik. Amalan-amalan salah laku seperti salahguna dadah, seks bebas, ‘mat rempit’, ketagihan terhadap bahan-bahan lucah sering dikaitkan dengan remaja atau orang Islam.
Tentu ada yang tidak kena tentang cara Islam diajar mahupun pada pemeluknya. Sedangkan pada umumnya remaja Islam sudah mengikuti pengajaran fardu ain di sekolah-sekolah, khatam al-Quran dan juga diajar tentang sembahyang, puasa, dosa-pahala dan syurga-neraka oleh ibubapa dan juga para pendidik.
Mengapa asas-asas yang diajar kurang memberi kesan sehingga ia tidak menjadi benteng memisahkan yang maaruf dengan yang mungkar. Memahami yang buruk dengan yang baik dan mengerti tentang amal perbuatan dan juga akibat dari sesuatu amalan dan tindakan.
Pancaran
Amat penting pancaran rohaniah dalam ajaran Islam yang menghubungkan remaja dengan faktor-faktor ghaibiyyat seperti Allah, malaikat, qada dan qadar, hari akhirat dikaitkan dengan tradisi ilmu yang menghubungkan faktor-faktor ghaibiyyat dengan tanda-tanda kebesaran Allah yang banyak terdapat pada alam ini. Harus dicetuskan jiwa tadabbur atau kaji selidik supaya pengaruh sains dan teknologi Barat hari tidak sampai membawa remaja Islam jauh dari Tuhannya atau agamanya.
Secara rohaniahnya memahami kewujudan Allah ialah memahami diri remaja sendiri. Pada diri remaja terhadap sumber akal untuk membolehkan remaja berfikir. Terdapat sumber hati dan dan emosi yang membolehkan remaja memiliki rasa dan keyakinan. Terdapat sumber fizikal yang membolehkan remaja bergerak dan melakukan kegiatan.
Memahami diri remaja sudah tentu membawa remaja merenung tentang sumber kekuatan yang menyebabkan kehidupan berlaku. Itulah faktor roh yang amat penting bagi remaja. Tanpa roh remaja dan manusia akan mati. Sehebat mana akal fikir remaja, emosi remaja dan keaktifan fizikal remaja, ia akan menjadi kaku bila roh tercabut dari tubuh badan.
Roh itu milik siapa? Al-Quran menggambarkan roh itu adalah milik Allah dan dipinjamkan sementara kepada manusia. Yang diketahui oleh manusia adalah amat sedikit. Asas ini membolehkan remaja menginsafi bahawa di samping faktor diri yang sifatnya kelihatan dan nyata ada faktor dalam diri yang sifatnya wujud tetapi ghaib.
Memahami hakikat roh membina keyakinan manusia tentang faktor yang ghaib iaitu Allah. Ghaib bukan bermakna tidak ada tetapi ghaib dalam konteks pemahaman terhadap Allah menunjukkan Ia ada dan amat berkuasa terhadap manusia dan alam ini.
Pada alam ini sendiri terdapat tanda-tanda kebesaran Allah. Upaya kita sebagai manusia untuk memahami alam dan hakikatnya amat terbatas. Tetapi berlakunya proses silih gantian siang dalam malam adalah di luar kemampuan manusia mengaturnya, perputaran cakerawala mengikut landasan yang tepat dan teratur bukanlah upaya manusia menggerakkannya.
Sudah tentu ada kuasa yang maha perkasa menentukan segalanya. Ia membawa remaja memahami tentang Allah kerana memerhatikan hakikat kebesaran-Nya.
Apalagi bila al-Quran iaitu kalam Allah, mengkhabarkan kepada manusia dan para saintis tentang asal usul kejadian alam, kejadian manusia, kejadian sumber-sumber rahmah yang melimpah ruah, tentang berlakunya silih gantian dan kehidupan yang berpasang-pasang, tentang awan yang menghasilkan air, turun ke bumi menyuburkan tanah-tanah yang mati dan menumbuhkan pohon-pohon yang menghasilkan buah untuk rezeki manusia.
Petunjuk al-Quran itu adalah selari dengan kajian saintifik masa kini. Oleh itu mengkaji al-Quran mendekatkan manusia kepada sains dan membina keyakinan manusia tentang Allah.
Jumat, 16 November 2007
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar